Kerjaya Fasha Sandha

Penglibatan awal (2002–2009)

Langkah Fasha untuk melibatkan diri dalam bidang seni lakonan bermula apabila beliau diperkenalkan menerusi filem arahan Ambri Kailani, Black Maria sebagai watak pembantu.[6] Filem ini ditayangkan pada 26 Jun 2003.[7]

Selepas itu, Fasha mendapat tawaran berlakon yang mencurah-curah bukan sahaja dari produksi filem, malah juga mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama sama ada untuk watak utama atau watak pembantu. Pada 2004, Fasha membintangi tiga filem serentak, iaitu filem komedi muzikal Bintang Hati arahan Aziz M. Osman yang mana beliau menjayakan watak sebagai June, seorang penggubah lagu yang bekerja untuk Syakila, yang dilakonkan oleh Amy Mastura.[8] Beliau kemudiannya berlakon bersama Datuk Rosyam Nor menerusi filem Berlari Ke Langit arahan Bade Hj. Azmi, Fasha memegang watak Yasmin, seorang guru baru di sekolah Iman.[9] Selepas Bintang Hati dan Berlari Ke Langit, Fasha membintangi filem drama muzikal SH3 arahan Zek Zukri.[10]

Fasha mendapat peranan yang diiktiraf menerusi drama 2 musim, 52 episod Natasha yang bersiaran di Slot Lestary TV3 yang meninggalkan kesan di hati penonton melalui wataknya sebagai perempuan malang bernama Natasya. Dalam satu temuramah dengan pihak media, Fasha memberitahu bahawa watak Natasya yang dibawanya adalah "watak yang paling sukar untuk dihayati olehnya". Drama yang turut dibintangi oleh Mustafa Kamal, Ezany Nizariff, Fiza Elite dan Lydia Ibtisam disiarkan dari 1 November 2005 dan berakhir pada 23 Januari 2007.[11][12][13]

Di acara Fiesta Media Idola 2006 yang diadakan di Kuantan, Pahang, beliau menjadi pembawa obor bersama penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza.[14] Pada 24 Julai 2006, Fasha melancarkan novel pertamanya bertajuk Sumpahan Fasha terbitan KRU Publishing. Buku ini ditulis bersama oleh Fasha dan Meor Shariman.[15][16]

Pada 30 November 2006, Fasha digandingkan bersama Eizlan Yusof menerusi filem romantik Cinta arahan Kabir Bhatia yang mengisahkan mengenai lima cerita yang mengisahkan mengenai cinta dari perspektif berbeza.[17] Filem ini turut menampilkan ramai pelakon popular tanah air termasuk Pierre Andre, Sharifah Amani, Vanida Imran dan Rashidi Ishak.[18] Fasha memegang watak sebagai Azura, seorang pekerja di sebuah kedai buku. Filem ini merupakan kejayaan komersial dan meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM 2.2 Juta[19] Ini merupakan filem kedua gandingan Fasha bersama Eizlan selepas Black Maria.[20] Fasha digandingkan bersama Saiful Apek sebagai Cicak-Man dalam filem aksi adiwira Cicak-Man arahan Yusry KRU, beliau melakonkan perana Tania, setiausaha Profesor Klon (Aznil Nawawi) yang mempunyai perasaan terhadap Hairi/Cicak-Man. Filem ini ditayangkan pada 7 Disember 2006 hingga kejayaan komersial.[21]

Beliau dilantik sebagai duta produk kecantikan Maybelline pada Januari 2007, menggantkan Siti Nurhaliza. Ditanya mengenai pelantikannya, Fasha berkata: "Saya bersyukur dengan tawaran tersebut. Tak pernah terfikir untuk menjadi duta Maybelline dan menggantikan tempat Kak Siti (Datuk Siti Nurhaliza). Sebab itu saya mengambil masa enam bulan untuk memikirkan tawaran itu."[22] Pada 1 Februari 2007, Fasha bersama Que Haidar membintangi filem usahasama Malaysia dan Indonesia Badai Pasti Berlalu arahan Teddy Soeriaatmadja terbitan Astral Pictures.[23] Filem lakonan Raihaanun dan Vino G. Bastian ini merupakan pembikinan semula daripada filem asal 1977 dengan judul sama arahan Teguh Karya lakonan Christine Hakim, Slamet Rahardjo dan Roy Marten.[23] Selain itu, beliau membintangi filem 9 September arahan sulung Pierre Andre. Fasha memegang watak Nia, seorang gadis tomboy comel yang baru ditinggalkan oleh teman lelakinya.[24]

Pada 3 April 2008, Fasha menjayakan peranan sebagai dirinya sendiri dalam filem Evolusi KL Drift arahan sulung Syamsul Yusof lakonan bersama Syamsul, Farid Kamil, Aaron Aziz dan Diana Danielle.[25] Filem ini merupakan filem kedua gandingan Fasha bersama Farid selepas filem Anak Halal. Beliau kembali mengulangi peranan Tania dalam kesinambungan filem Cicak-Man, Cicakman 2 - Planet Hitam yang ditayangkan pada 11 Disember 2008.[26][27]

Pada 16 Julai 2009, Fasha berperanan sebagai Ayu dalam filem seram suspens, Skrip 7707 arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen.[28] Dalam pada itu, Fasha mengumumkan menarik dari daripada membintangi filem Evolusi KL Drift 2 arahan Syamsul Yusof, turut menarik diri ialah Diana Danielle. Beliau digantikan oleh Scha Al-Yahya.

Peningkatan kerjaya (2010–2013)

Pada 2010, Fasha menjayakan peranan utama bersama Saiful Apek dan Rozita Che Wan dalam filem komedi romantik 4 Madu yang ditayangkan pada 9 September.[29] Pada 30 November 2010, Fasha berlakon bersama Zamarul Hisham dalam siri drama Dia Atilia yang mengisahkan Atilia dan Faizal yang bersahabat baik di kolej.[30] Beliau seterusnya menjayakan watak utama sebagai Chinta Chandurry dalam drama Chinta mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis malang bernama Chinta yang pada awalnya adalah gadis yang baik akhirnya terjebak di dalam kancah pelacuran akibat pelbagai nasib malang yang dialaminya. Drama yang turut dibintangi oleh Adi Putra dan Azhar Sulaiman ini bersiaran di Slot Akasia TV3 pada 27 September hingga 14 November 2010.

Fasha telah membintangi filem seram komedi, Sini Ada Hantu arahan James Lee. Dalam filem ini, beliau memegang watak Hantu Pokok Pisang, flem ini ditayangkan pada 20 Februari 2011 dan menjadi satu-satunya filem lakonan beliau yang ditayangkan dalam tahun 2011.[31]

Pada 20 Jun 2011, Fasha berlakon bersama Iqram Dinzly menerusi drama waktu perdana Slot Akasia TV3, Dewa Cinta arahan Harrid Fadzillah yang mana beliau memegang watak utama sebagai June, seorang penyanyi dan pemuzik di sebuah kelab malam dan drama ini memerlukan beliau belajar bermain gitar. Watak dalam drama ini sangat berbeza dengan watak yang pernah dibawakan oleh Fasha sebelum ini dan juga dirinya sendiri. Ia merupakan kolaborasi kedua Fasha bersama Iqram selepas sama-sama membintangi filem Evolusi KL Drift pada 2008.[32][33][34]

Selain itu, beliau digandingkan bersama pendatang baharu dalam bidang lakonan Johan As'ari menerusi drama waktu perdana Cinta Elysa arahan Along Kalamudin yang bersiaran di Slot Lestary TV3 pada 13 September.[35] Fasha mempunyai peranan sebagai Shakira, berpasangan dengan Fahrin Ahmad dalam drama waktu perdana Seindah Sakura yang bersiaran di Slot Akasia TV3 bermula 7 Mei hingga 14 Jun 2012.[36][37] Pada 28 November 2013, Fasha membintangi filem Penanggal arahan Ellie Suriati sebagai Sharifah Zahrah, seorang gadis berketurunan Arab dan memerlukan beliau bertutur dalam bahasa Arab dengan fasih.[38][39][40]

Cabaran kerjaya dan penerbit (2014–2017)

Fasha digandingkan bersama Dazrin Kamarudin menerusi drama Miranda yang bersiaran di Slot Samarinda di TV3 pada 5 Mei 2014.[41] Ia mengisahkan tentang Miranda yang melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas putus tunang dengan lelaki pilihan ibu tirinya. Drama arahan Along Kamaludin dan ditulis oleh Sharifah Abu Salem ini turut dibintangi oleh Eizlan Yusof, Zila Bakarin, dan Roy Azman. Selepas Miranda, Fasha membintangi pula drama waktu perdana Selamat Pengantin Madu, memegang watak sebagai Hana, bersama Aiman Hakim Ridza dan Eina Azman yang bersiaran di Slot Lestary TV3 bermula 3 September 2014.[42]

Pada 6 Ogos 2014, Fasha berlakon di samping Aaron Aziz, Rusdi Ramli dan Anzalna Nasir menerusi drama 13 episod Tentang Hati arahan Feroz Kadir terbitan Global Station Sdn Bhd yang mengisi slot Selekta Prima di TV2. Ia mengisahkan tentang Azia, pemilik resort yang merupakan harta peninggalan keluarga. Azia menghadapi konflik percintaan bersama Zaquan dan pada masa yang sama, Umar turut menyimpan perasaan kepada Azia.[43]

Fasha bersama Ummi Nazeera, Fezrul Khan dan Amar Baharin membintangi drama Alif Imani arahan Keoi Hj. Khalid (Allahyarham) yang disiarkan di Slot Ratu TV9 dari 13 November 2015 hingga 22 Januari 2016, beliau memegng watak sebagai Mahsuri.[44][45] Pada 25 Mei 2016, Fasha bersama-sama dengan Amar Asyraf, Fattah Amin, Janna Nick, Hafidz Roshdi dan Uqasha Senrose telah dilantik oleh TV3 sebagai duta bagi kempen Syukur Selalu 2016.[46]

Fasha kembali bekerja di bawah arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen menerusi filem komedi santai Anak Mami Nasi Kandaq selepas kali terakhir bekerja dengan A. Razak menerusi filem 4 Madu pada 2010. Dalam filem ini, Fasha memegang watak sebagai Fuziah, salah seorang daripada lima anak Mamu Nizam. Filem ini membuka tayangan di pawagam pada 6 Julai 2016, turut membintangi filem ini ialah adiknya, Elisya Sandha, Ezzaty Abdullah dan Nur Risteena.[47][48] Pada Julai 2016 juga, Fasha berlakon dalam filem Dukun Dr. Dani arahan sulung Sabri Yunus bersama Taufik Batisah, Amerul Affendi, Raysha Rizrose dan Yus Jambu.[49]

Fasha memegang watak protagonis bersama Nazim Othman dalam siri telenovela Lara Aishah yang diadaptasi dari telenovela Mexico, La Loba.[50] Dalam drama ini, beliau memegang watak sebagai Aishah, isteri kepada Iskandar. Siri ini disiarkan di Astro Prima dari 29 Ogos 2016 hingga 13 Januari 2017.[51] Peranan beliau seterusnya ialah sebagai Dr. Vanida/Vivy dalam siri Syurga yang Kedua yang diadaptasi daripada sinetron Indonesia dengan judul sama, lakonan Siti Elizad dan Zarul Umbrella, dan disiarkan serentak di Astro Prima dan Astro Maya HD.[52]

Melengkapkan diari kerjaya seninya, pada November 2017, Fasha menubuhkan syarikat penerbitannya FS Creative Sdn. Bhd. yang menyaksikan percubaan sulung Fasha sebagai penerbit.[53] Projek televisyen sulung syarikat ini, drama komedi 50 episod Mamu Mami Gosip yang mana beliau turut menyumbangkan idea dan menulis skrip.[54][55]

Terus aktif berlakon (2018–kini)

Fasha kembali bekerja di bawah Prof. Madya Abdul Razak menerusi filem komedi cereka sains, Badang yang ditayangkan di pawagam pada 15 Februari 2018, filem ini merupakan penampilan pertama usahawan terkenal Aliff Syukri Kamarzaman di layar lebar dan turut dibintangi oleh Fauzi Nawawi.[56] Beliau menjayakan watak sebagai Nurhidayah dalam siri TV Teratai Kemboja, beliau digandingkan sekali lagi dengan Adi Putra. Drama ini menjalani penggambaran di Kemboja dan bersiaran di Slot Zehra pada 13 April 2018.[57][58]

Fasha kembali digandingkan bersama Aaron Aziz dalam drama adaptasi novel karya Hana Ilhami, Patah Sayap Bertongkat Paruh, di mana beliau memegang watak sebagai Aliah. Drama ini memulakan tayangan perdana di Slot MegaDrama Astro Ria bermula 3 April 2019. Ini merupakan kali kedua Aaron dan Fasha berlakon bersama sejak filem Evolusi KL Drift pada 2008.[59]

Rujukan

WikiPedia: Fasha Sandha http://www.astroawani.com/berita-hiburan/fasha-san... http://www.astroawani.com/video-hiburan/fasha-aidi... http://youth.bernama.com/v2/news.php?id=1278112 http://www.budiey.com/drama-seindah-sakura-tv3/ http://www.budiey.com/filem-evolusi-kl-drift-filem... http://www.budiey.com/filem-usahasama-malaysia-ind... http://www.budiey.com/gambar-fasha-sandha-di-sidan... http://www.budiey.com/sinopsis-drama-bersiri-seind... http://www.budiey.com/tv3-tv9-lancar-kempen-ramada... http://aweenlp7.fotopages.com/?entry=456782&back=h...